Monday, November 28, 2011

Salam maal hijrah 1433H



Sudah sunnatullah, masa itu terus juga berjalan tanpa adanya pusingan ‘u-turn’. Ia tetap akan bergerak sedetik demi sedetik meninggalkan mereka yang terpinga-pinga dalam kemunduran dan kejahilan. Benarlah kata Allah, semua manusia itu kerugian kecuali dua golongan yang senantiasa beruntung; iaitu manusia yang menggunakan masa hidupnya untuk beriman dan berbuat amal kebaikan serta manusia yang berpesan-pesan kepada yang hak dan juga berpesan-pesan kepada kesabaran.

Saban tahun ia menjenguk, seperti tahun ini juga. Lagi sekali, kita menyambut tahun baru hijrah. Bererti tahun 1433H memulakan tirainya, bagaikan ianya satu calendar yang kosong lagi bersih yang memerlukan setiap fardu muslim mengisinya. Nah, tahun baru sudah bermula, apakah perancanganmu untuk menghidupkan 1433H? Ada atau tiada? Jom tanya diri sendiri!

Di kesempatan ini, saya seorang insan yang kerdil mengucapkan selamat tahun baru hijriah kepada semua pembaca. Saya mendoakan semua daripada kita senantiasa mendapat hidayah daripada Allah dan moga dipermudahkan urusan dan diberi kekuatan dan kesedaran untuk meningkatkan kecintaan kepadaNya. Moga tahun baru ini lebih baik dan lebih cemerlang berbanding yang lepas. Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita pada tahun-tahun yang sudah berlalu dan semoga Dia mencegah kita dari melakukan dosa-dosa yang sama pada tahun baru ini.

Amalan awal Muharram janganlah dipandang enteng. Ambillah barakahnya. Pemurahnya Allah s.w.t. Dalam setiap bulan-bulan Islam pasti ada tawaran-tawaran hebat daripadaNya untuk menggalakkan hamba-hambaNya berpusu-pusu dan berebut-rebut mengejar pahala dan kerahmatan Allah. Subhanallah, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang Engkau wahai Allah. Ayuh, cabar diri di 10 hari awal bulan Muharram!

Awal Muharram
Menyaksikan pemuda Islam menyemat azam baru
Memaknakan dirinya sebagai Muslim sejati
Ingin ditinggalkannya segala dosa-dosa lalu
Yang bakal menjadi sempadan dalam hidupnya
Selama-lamanya

Awal Muharram
Mengingatkan pemuda Islam itu tentang hijrah RasulNya
Biarpun tiada lagi hijrah seperti sang Nabi
Tapi
Hijrah itu di setiap masa dan detik kehidupan
Yakni
Hijrahnya kebatilan kepada kebenaran
Hijrahnya keburukan kepada kebaikan

Awal Muharram
Biarpun setiap tahun ia menjengah
Tapi
Setiapnya membawa rasa yang berbeza
Kali ini biarlah segalanya yang akan datang membawa sinar baru
Mengeluarkannya dari takuk lama
Melarikan dirinya dari kejumudan pemikiran
Membawanya ke lembaran hidup yang baru
Untuk diwarnai sebagai seorang MUSLIM hakiki!

No comments:

Post a Comment