Saturday, December 10, 2011

Tahniah para graduan!

Tahniah buat semua graduan yang telahpun berjaya mendapat segulung ijazah yang pasti datang selepasnya satu tanggungjawab yang besar. Kamu telah memasuki satu lagi dunia yang lebih mencabar berbanding alam kampus!

3 disember yang lepas, saya, abah, ummi dan adik bongsu berpeluang menghadiri majlis konvokesyen USIM kali-9 untuk meraikan kakak kedua saya yang tamat belajar di sana. Majlis itu diadakan di PICC, PUtrajaya. Walaupun penat merentas lebuhraya Timur-Barat yang beratus kilo jauhnya, namun kulihat sinar bahagia di wajah ayah bonda, tumpang bangga dengan kejayaan anaknya yang telah berjaya merangkul segulung ijazah. Terasa lambat pula saya nak habiskan pengajian ini, saya juga ingin memberi kebahagiaan berganda kepada ayah bonda tercinta.



Cuti blok sudahpun habis, ayah bonda datang hantar hingga ke tangga asrama. Melihat mereka beredar cukup membuat dada saya berombak, rembesan air mata sudahpun mengalir, saya sentiasa kalah bila mengenang jasa mereka yang tak pernah putus untuk melihat anak-anak berjaya.

Masih kuingat pengorbanan ayahanda tatkala dia di masa mudanya ketika mendapat anak kedua, dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam kursus TESL tapi ditolaknya tawaran itu dengan hati yang berbelah bahagi. Jika dia menerima tawaran itu, dia terpaksa meninggalkan kerjaya guru lepasan maktab dengan cuti tanpa gaji. Hatinya tidak sanggup untuk maninggalkan anak isteri,siapa akan menjaga, tangan mana yang akan meyuapkan makanan ke mulut anak-anak kecilnya dan macam-macam lagi halangan. Akhirnya, dia memendam cita-citanya jauh-jauh. Biarlah dirinya tetap seorang guru lepasan maktab, tidak sanggup dia abaikan anak isteri.

Semasa kakak saya menanggalkan jubah konvonya dan meminta abah memakainya untuk bergambar kenangan, abah kata "abah bukan graduan university". Alahai, saya tahu hatinya!



Abah selalu berpesan "kita bukan orang berada. Abah tiada harta untuk ditinggalkan kepada anak-anak, ilmu itulah yang kamu perlu cari agar kamu dapat membina kehidupan dunia akhirat dengannya"

Saya yakin dan pasti, sehingga kini tiap kali majlis konvo, dia akan teringatkan cita-cita lamanya. Ayahku, nah terimalah hadiah dari anak-anakmu..sebuah kejayaan atas pengorbananmu!

No comments:

Post a Comment