Tuesday, March 6, 2012

Sembang pagi

Sesekali pulang bercuti ke kampung, terasa betapa bebas dan tenangnya diri dari kesibukan belajar dan urusan-urusan lain. Cuti kuliah perubatan ini sering sahaja tidak sama dengan pelajar-pelajar kuliah lain, apatah lagi dengan jadual waktu sekolah. Oleh itu, selalu sahaja cutiku sunyi, ibu sahaja yang boleh ku damping dari siang hingga malam, ayah hanya ada selepas waktu sekolah tamat. Itupun masa dengannya terbatas, bila waktu malamnya dia memilih untuk istirahat awal mangumpul tenaga keesokan harinya.

Pagi-pagi, ku mengikut ibu bertandang ke rumah maklong. Dia juga keseorangan waktu-waktu pagi begini. Anaknya keluar mencari rezeki. Aku menemani mereka berdua berborak, mengkaji apa isi perbincangan mereka. Rupanya, isi perbualan adalah seputar waktu zaman mereka kecik-kecik dulu; belajar sampai darjah tiga, masuk sekolah atap, dijodohkan pada usia yang muda, melakukan kerja-kerja rumahtangga, belajar menjahit manik-manik dan kesenian lain dan pelbagai lagi. Sesekali perbincangan mereka beralih kepada menu masakan, ragam suami dan anak-anak dan macam-macam lagi. Mereka bahagia dalam kerangka hidup mereka. Mereka tidak meyesal bahkan bagaikan lengkap hidup mereka sebagai seorang wanita. Sungguh, penulis sangat mengagumi mereka berdua. Walaupun pendidikan hanya sekadar mengenal ABC dan 123, tetapi ilmu kemahiran dan kehidupan mereka sangat luas. Mereka adalah wanita kental yang tabah mandiri atas nama sebuah kehidupan, tidak takut berhujan panas asal ada kudrat mereka tetap gagah menapak walaupun garis-garis kasar mula terbentuk di kulit mereka, walaupun kadang-kadang mereka seolah ketinggalan zaman.

Jika dibandingkan dengan wanita-wanita bekerjaya zaman sekarang, mereka punya karisma dengan pakaian warna-warni, bergaji sendiri, punya rupa anggun dimekap rapi, punya tangan licin lagi halus yang lincah menekan papan keyboard, duduk di pejabat berhawa dingin, lantang menyuarakan pandangan dan pelbagai lagi kehebatannya.

Benak saya disesakkan dengan satu persoalan? Antara dua kondisi wanita ini, siapakah yang mempunyai ciri-ciri perempuan Melayu ataupun lebih tepat lagi bagaimana keperibadiaan seorang wanita Islam?

Kenapa saya lonjakkan persoalan ini kepada pembaca? Kerana perempuan Melayu sudah ketinggalan tradisinya yang lemah lembut dan sopan santun. Begitu juga dengan wanita Islam, mereka seolah hilang identity.

Pemodenan identiti wanita Melayu bukanlah semuanya tidak baik, tetap ada sisi positifnya. Positifnya bila mereka mampu keluar dari badi ‘belajar tinggi-tinggi pun ke ceruk dapur juga’. Mereka berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan kaum lelaki, punya kebebasan untuk bekerja dan berorganisasi. Ironinya, pemodenan ini menyebabkan mereka egois, lupa bahawasanya mereka itu punya tanggungjawab pada rumahtangga, suami dan anak-anak. Sentuhan mereka tidak lagi lembut, masa mereka terbatas, jadual mereka padat..akhirnya dia tidak lagi berperan sebagai wanita sejati.

Wanita manakah yang punya jiwa klasik tetapi juga moden atau punya jiwa moden tetapi juga klasik? Ah, susah bukan mencari yang sejati.

Idealnya, wanita perlu berani mencuba bidang-bidang yang layak dengannya untuk memenuhi keperluan masyarakat. Hendaklah wanita berganding bahu dengan lelaki dalam kerja-kerja pembangunan komuniti. Tetapi jangan dilupa, seorang wanita itu tetap punya tanggungjawab sebagai ibu. Jangan bunuh jiwa keibuanmu, jangan tanam sifat malu dan lemah lembutmu, kerana itu sifat wanita mukmin.

Saya sedar bahawa saya bakal menjadi seorang yang bekerjaya suatu hari nanti. Mana mungkin saya akan sama dengan wanita-wanita yang punya perasaan halus tapi berjiwa kental ini. Hidup saya bukan lagi seputar keluarga dan rumahtangga, malah sudutnya mungkin akan mencapah lebih besar kepada kerja berkhidmat untuk masyarakat, negara dan agama. Saya bakal kehilangan beberapa kemahiran yang patut ada pada seorang wanita, namun saya perlu berpegang pada ‘jikalau tak dapat semua, jangan tinggal semua’. Dengan ilmu yang saya ada, bebanan dan tanggungjawab yang akan datang mungkin tidak kalah hebatnya. Oleh itu, saya haruslah sedar bahawa menggabungkan kedua-dua ciri wanita yang saya ceritakan ini ke dalam diri akan membuatkan saya lebih sukses dan seimbang. Moga dapat manfaat dari entri ini!

1 comment: